suria

Ahmad Maslan Mahu Ahli Parlimen Sokong TPPA

JOHOR BAHARU: Anggota Parlimen diharap lebih terbuka dan membuat keputusan bijak dengan menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) semasa pembentangan mengenai perjanjian itu pada Sidang Khas Parlimen pada Selasa depan.

TimbalanMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata anggota Parlimen seharusnya telah faham secara terperinci mengenai kandungan dan faedah TPPA memandangkan masa yang diberikan kepada mereka untuk memahami perjanjian itu mencukupi.

"Saya harap anggota Parlimen akan terbuka (dan) melihat kebaikan dan faedah yang bakal diperoleh menerusi TPPA.

"Kita mahu melakukan sesuatu yang baik kepada negara. Oleh itu, kita harap anggota Parlimen akan terbuka untuk memberi sokongan kepada TPPA," katanya kepada pemberita di RTM Johor, di sini, Sabtu.

Terdahulu, Anggota Parlimen Pontian itu menjadi tetamu jemputan dalam program radio RTM "Johor Sana Sini, Segar Pagi" selama 30 minit yang dikendalikan oleh juruhebah radio, Junaidah Alahan.

Ahmad berkata tiga sesi penerangan telah diadakan untuk anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), pembangkang dan juga Senator.

Menerusi sesi penerangan itu, katanya empat bengkel berbeza turut diadakan yang menyentuh antaranya isu-isu mengenai akses pasaran, buruh, alam sekitar, ubat-ubatan, perolehan kerajaan dan Bumiputera.

"Jadi, empat bengkel ini telah diberikan kepada anggota Parlimen untuk mendalami secara terperinci isu-isu mengenai TPPA.

"Pegawai yang terlibat dalam rundingan turut menghadiri bengkel itu bagi menjawab segala persoalan. Ini termasuk segala perincian yang dibincangkan dalam rundingan tersebut," katanya, sambil menambah proses penerangan itu diadakan dengan amat terbuka dan telus.

Sehubungan itu, katanya tiada sebab bagi semua wakil rakyat untuk menyatakan mereka tidak mempunyai cukup maklumat mengenai TPPA.

Ahmad berkata Sidang Khas Parlimen pada Selasa ini akan bermula dengan penerangan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, diikuti perbahasan daripada beberapa wakil anggota Parlimen BN dan pembangkang.

Perkara yang dibangkitkan akan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan sebelum dirumuskan oleh Mustapa pada Rabu yang diikuti dengan pengundian.

Majoriti mudah diperlukan di Dewan Rakyat sebagai sokongan untuk menandatangani TPPA dan undian di Dewan Negara akan diadakan pada Khamis, katanya.

Pada program radio itu, Ahmad berkata TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas "alaf baharu" yang berbeza dengan perjanjian perdagangan bebas sebelum ini memandangkan ia mempunyai standard perdagangan yang lebih tinggi.

Selain Malaysia, 11 negara lain yang terlibat dalam TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam, yang memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Okt 2015.

TPPA, Ahmad Maslan

Artikel Sebelum

Artikel Lain