suria

Imigresen Kedah Tahan 23 Pati Warga Myanmar, Nepal

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Nepal dalam 'Ops Sapu' yang dijalankan di sebuah kilang besi di Alor Setar, Khamis malam.  

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata mereka ditahan berikutan pemeriksaan pada pukul 6.50 petang di kilang itu yang terletak di Simpang Empat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, 11 lelaki warga Myanmar dan 12 lelaki warga Nepal berumur lingkungan 14 hingga 40 tahun ditahan mengikut Seksyen6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind.2002) kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Semasa serbuan dilakukan, kesemua warga asing terbabit sedang bekerja di kilang tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Yusri berkata kesemua yang ditahan itu ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. -Bernama

Pati Myanmar, Nepal, Imigresen Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Lain