Padah Curi Wang Majikan, Penjaga Kaunter Dipenjara Lima Bulan - Semasa | mStar

Padah Curi Wang Majikan, Penjaga Kaunter Dipenjara Lima Bulan

KUALA LUMPUR: "Saya mahu berjumpa majikan saya. Saya menyesal. Saya janji akan bayar semula duit itu selepas keluar dari penjara," kata seorang penjaga kaunter kafe siber yang dihukum penjara lima bulan kerana  mencuri wang RM1,305 milik majikannya.

Seok Hong Kuan, 29, yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya juga berkata dia tiada wang untuk membayar denda dan juga anak yatim piatu selain tidak mempunyai saudara-mara di sini.

Majistret Muhamad Faizal Ismail kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas Seok dan memerintahkan dia menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 20 Januari.

Seok didakwa mencuri duit itu di Happy Green Internet Kafe, No. 6 Jalan Sembilang, Taman Tenaga, Cheras di sini, antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 4.30 pagi, pada 6 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, Saw Wan Lock, 61, pemilik kafe siber itu menerima panggilan daripada pelanggannya yang memaklumkan tiada pekerja yang menjaga kaunter kafe tersebut. 

Saw kemudiannya pergi ke kafe itu dan mendapati Seok yang sepatutnya bekerja pada waktu itu tiada dan wang hasil kutipan di dalam laci sebanyak RM1,305 juga hilang. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh. -- Bernama 


Seok Hong Kuan , Taman Tenaga , kafe siber

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel