suria

Terengganu Bongkar Penebangan Balak Haram, Rampas Aset RM2 Juta

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perhutanan Terengganu berjaya membongkar kegiatan penebangan haram balak yang dilakukan di hutan simpan serta merampas pelbagai jentera dan kayu bernilai kira-kira RM2 Juta, Selasa lalu.

Pengarahnya Datuk Azmi Nordin berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi  di Hutan Simpan Cherul, Kemaman itu pihaknya turut menyita sebanyak 12 buah jentera yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

Katanya dalam serbuan yang dilakukan lima anggota itu pihaknya mendapati kira-kira lima ekar kawasan hutan milik sebuah koperasi telah ditebang oleh kontraktor yang dilantik biarpun tanpa lesen kebenaran menebang.

"Ketika serbuan terdapat 12 pekerja sedang menjalankan kerja-kerja penebangan dan cuba menghalang pihak kami melakukan tangkapan namum kita telah membuat laporan polis kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Bagaimanapun kita berjaya merampas pelbagai jenis jentera berat bernilai kira-kira RM 1.5 Juta dan pelbagai jenis kayu seperti Meranti yang dianggarkan bernilai RM 500,000," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Tambah beliau pihaknya memandang serius tindakan kontraktor yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi melakukan kerja-kerja penebangan.

Beliau percaya kegiatan haram itu telah dilakukan sejak seminggu yang lepas  dengan mengambil kesempatan menebang pokok di kawasan tersebut ekoran permintaan yang tinggi.

"Sekarang ini proses untuk mendapatkan lesen menebang telah dibuat pihak terbabit dan ia sedang dalam proses, tetapi secara rasminya mereka tidak boleh bertindak sedemikian," katanya.

"Kita juga percaya kayu tersebut untuk edaran lebih meluas berikutan jentera berat yang digunakan dalam kerja-kerja tersebut dan ini merupakan rampasan terbesar pada tahun ini," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 81 (2) Akta Perhutanan Negara dan sekiranya gagal membayar kompaun akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Larangan Mengambil Hasil Hutan dan jika disabit kesalahan dikenakan penjara setahun dan denda RM500,000.-- Bernama 



Artikel Lain