suria

Thaipusam: Polis Selangor Jamin Keselamatan Paling Tinggi

SHAH ALAM: Polis Selangor memberi jaminan tahap kawalan keselamatan tertinggi sepanjang sambutan perayaan Thaipusam di kuil Batu Caves dekat sini, Ahad ini, bagi menghadapi sebarang ancaman yang tidak diduga.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya telah mula memperketatkan kawalan di kawasan berkenaan sejak Jumaat lepas memandangkan sambutan perayaan itu bakal menarik jutaan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Beliau memberitahu pemberita di sini, Rabu, langkah itu selaras dengan saranan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mahu amaran keselamatan negara khususnya di tempat tumpuan awam ditingkatkan ke tahap paling tinggi bagi menghalang berlakunya sebarang insiden tidak diingini terutama melibatkan ancaman kumpulan militan Daesh.

Saranan Khalid itu susulan insiden tembak-menembak serta serangan bom berhampiran Gedung Sarinah di Jalan MH Thamrin, di tengah-tengah ibu kota Jakarta pada Khamis lepas.

Abdul Samah bagaimanapun enggan menjelaskan jumlah anggota yang akan ditempatkan di sekitar kawasan kuil berkenaan, namun menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai aspek keselamatan sepanjang berada di situ.

"Perayaan Thaipusam di Batu Caves telah tersenarai dalam kalendar pelancongan negara malah memang setiap tahun kita sentiasa memberi tumpuan keselamatan khusus bagi tempat awam ini.

"Kita juga sudah mengambil kira semua faktor terlibat untuk kita tentukan kekuatan pasukan secukupnya bagi menangani apa jua kemungkinan pada masa itu," katanya kepada pemberita, Rabu.

Beliau ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen itu di sini dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 36 penerima awam termasuk 10 pengamal media atas sumbangan terhadap pasukan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Samah berkata polis sedang giat memburu pemandu sebenar sebuah lori hantu yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van, dua kereta serta 34 motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai Perdana, Kajang, dekat sini pada Khamis lepas.

Beliau berkata ini kerana hasil siasatan lanjut mendapati, seorang lelaki warga Indonesia yang ditahan sebelum ini bukan pemandu sebenar lori hantu tersebut namun identiti suspek yang dikehendaki telah dikenal pasti dan polis sedang menjejakinya bagi membantu siasatan.

Kemalangan tersebut mengakibatkan dua pelajar perempuan sekolah berkenaan maut manakala seorang penjaja cedera setelah dirempuh van itu selepas dilanggar lori hantu terbabit.-- Bernama

Thaipusan, Selangor, Abdul Samah Mat

Artikel Berikut

Artikel Lain