suria

Pemilik Ampang Park Dapat Kebenaran Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Lebih daripada 62 pemilik strata pusat beli-belah Ampang Park mendapat kebenaran untuk semakan kehakiman berhubung pengambilan tanah bagi pembinaan projek MRT.

Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas), Datuk Hanipa Farikullah turut membenarkan penangguhan sementara pemberian apa-apa anugerah daripada pentadbir tanah.

Dalam permohonan mereka, pemilik memohon pengisytiharan bahawa kelulusan pihak berkuasa negeri untuk pengambilalihan tanah mereka bagi Projek Mass Rapid Transit atau projek MRT di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Mereka juga mahu apa-apa prosiding lain untuk pengambilalihan tanah mereka bagi projek MRT diisytiharkan sebagai haram dan tidak sah.

Pemohon juga memohon perintah mahkamah untuk menggantung semua bentuk prosiding atau keputusan yang dibuat sama ada oleh Kementerian Wilayah Persekutuan serta kerajaan yang dinamakan sebagai responden sehingga semakan selesai.

Mahkamah menetapkan 29 Februari sebagai pengurusan kes seterusnya.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli belah pertama di Malaysia dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan dan kehendak selain perkhidmatan untuk warga kota.

Ia dibangunkan oleh syarikat Low Keng Huat Brothers Realty Sdn Bhd berikutan kejayaan projek pertamanya di Singapura, People's Park yang dibuka pada 1968.

Ampang Park

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain