suria

PM Hadir Majlis Persandingan Anak Datuk Seri Hasan Malek

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menepung tawar pasangan pengantin Mohd Irfan Hassan dan Norhafiza Mustapa ketika menghadiri majlis persandingan anak bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek di Pusat Sukan dan Belia Paroi, Ahad. -fotoBERNAMA
SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pada Ahad menghadiri majlis persandingan anak lelaki anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek.

Ketibaan Najib dan Rosmah di perkarangan Ballroom Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini disambut Hasan dan isteri, Datin Seri Norainee Mohd Yatib serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Antara kenamaan lain yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ir Idris Haron dan isteri Datin Seri Fadilah Abdullah; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Perdana menteri dan isteri turut menepung tawar pasangan mempelai, Mohd Irfan Hasan, 28, dan Norhafiza Mustapa, 28, yang mengenakan persalinan berwarna ungu.

Mohd Irfan bertugas sebagai Pegawai Pemeriksa Paten Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) di Kuala Lumpur manakala Norhafiza, yang berasal dari Rembau, merupakan Penolong Pegawai Farmasi di Hospital Pakar KPJ Damansara, Kuala Lumpur.

Majlis akad nikah pasangan itu diadakan di Masjid Hussain, Seremban 2 di sini, pada Jumaat lepas.

Semalam berlangsung majlis persandingan bagi pihak perempuan yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban di sini.

Artikel Lain