suria

Jakoa Terus Pujuk Ibu Bapa Orang Asli Hantar Anak Kembali Ke SK Tohoi

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan terus memujuk masyarakat Orang Asli di sekitar Pos Tohoi supaya menghantar anak mereka kembali ke sekolah.

Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Hasnan Hassan berkata seramai 74 murid masih belum melaporkan diri ke SK Tohoi walaupun sesi persekolahan telah dibuka seminggu.

"Bagaimanapun kita bersyukur kerana berlaku pertambahan murid kepada 115 orang berbanding 99 orang ketika sesi persekolahan dibuka.

"SK Tohoi mempunyai 189 murid dan kebanyakan mereka tinggal di Kampung Penad, Gawin, Simpor, Sedal, Dangdut, Halak, Rekom dan Jader yang berdepan dengan masalah perjalanan terlalu jauh," katanya kepada pemberita selepas melawat SK Tohoi di sini, Ahad. 

Hadir sama Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu Nik Man Nik Ya dan Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang Muhammad Zahari Othman.

Hasnan berkata beliau telah mengarahkan kakitangan Jakoa bersama Jabatan Pendidikan untuk ke kampung-kampung tersebut bagi memujuk ibu bapa supaya menghantar anak mereka kembali ke sekolah. 

Ditanya mengenai Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, yang masih belum melaporkan diri, beliau berkata kedua-dua murid berkenaan diberi keistimewaan untuk melapor diri di mana-mana sekolah yang mereka suka.

"Kita akui mungkin mereka masih trauma dengan kejadian lalu dan mereka diberi kebebasan untuk pilih sekolah yang mereka rasa sesuai termasuk SK Kuala Betis.

"Mereka boleh lapor diri seberapa segera tanpa membawa sebarang surat kebenaran dari sekolah lama dan selepas melaporkan diri baharu boleh uruskan (pertukaran sekolah)," katanya.

Hasnan berkata keistimewaan itu dimaklumkan pegawai pelajaran daerah supaya dua murid terbabit dapat belajar di sekolah baharu tanpa halangan.

Beliau turut menafikan dakwaan kehadiran sekolah di kawasan Orang Asli adalah teruk ketika sesi persekolahan 2016 dibuka.

Hasnan berkata usaha giat dilakukan untuk mengurangkan keciciran pelajaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Ogos tahun lepas, tujuh murid SK Tohoi bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran. 

Selepas hampir 50 hari hilang, Norieen dan Miksudiar ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai dalam hutan di situ.

Selain Miksudiar dan Norieen, lima lagi kanak-kanak yang hilang ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang kesemuanya dari Kampung Gawin dan Kampung Penad.

Lebih memilukan, empat daripada kanak-kanak itu - Ika, Haikal, Linda dan Juvina ditemui mati manakala Sasa belum ditemui.-- Bernama


Artikel Lain