suria

Dua Lelaki Maut Lori Simen Hilang Kawalan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut selepas lori simen yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas di Jalan 5 Chan Sow Lin, di sini, awal pagi Sabtu.

Mangsa dikenali sebagai Nasarun Lajahmurah, 31, dan Ahmad Syazwan Mustafa, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superitendan S. Markandan berkata kejadian berlaku pada pukul 2 pagi ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Tun Razak.

"Lori yang dipandu Nasarun telah melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu sebelum lori mereka terbalik. Keadaan itu menyebabkan Nasarun tercampak keluar dan Ahmad Syazwan tersepit di tempat duduk kenderaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 2.10 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Seramai 12 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Tun Razak dihantar ke lokasi kejaidn," katanya.

Artikel Lain