suria

Kongres PKR: Tolak Politik Rasis - Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengutuk politik berasaskan kaum, justeru ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menggalakkan keamanan dan tidak mencetuskan kontroversi.

"Politik wujud kerana tidak semua orang boleh bersetuju dalam semua perkara. Demokrasi wujud untuk menguruskan perbezaan," kata Nik Nazmi.

Berucap di Kongres AMK di Dewan Sivik MBPJ di sini, beliau berkata politik berasaskan kaum adalah penghalang kepada kemajuan negara.

"Mereka yang mempunyai pemikiran negatif menggunakan bangsa sebagai faktor untuk mengalih perhatian dan akhirnya mengaburi mata rakyat daripada isu yang benar-benar memberi kesan kepada negara," kata Nik Nazmi.

Tambahnya, pemimpin yang baik tidak akan menggunakan konflik yang melibatkan bangsa dan agama untuk kepentingan politik.

"Mereka akan melakukan apa sahaja menggunakan kuasa mereka untuk menangani perkara itu dengan cara sebaik mungkin tanpa menyakiti pengikut-pengikut mereka," kata Nik Nazmi.

Beliau menggesa agar Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Biro Tata Negara (BTN) segera dimansuhkan, sambil menambah orang ramai perlu bersatu untuk melawan perkauman.

"Jika kita sebagai orang awam gagal memperjuangkan amalan perkauman, kita akan merosakkan masa depan negara ini," kata Nik Nazmi.

Artikel Lain