suria

Program Literasi Kanak-Kanak Perlukan Sukarelawan

KUALA LUMPUR: Khidmat sukarelawan dikehendaki untuk mengadakan sesi bacaan atas talian dengan kanak-kanak kurang berkemampuan bagi meningkatkan literasi mereka.

Inisiatif tersebut yang dikenali sebagai projek Right To Learn membolehkan sukarelawan menjalankan sesi bacaan dengan kanak-kanak menerusi aplikasi video chat, Skype dari rumah.

Diasaskan Yans Ganghadaran pada 2007,  projek tersebut bermatlamat untuk membantu kanak-kanak dari latar belakang kurang bernasib baik dengan membantu mereka meningkatkan kemahiran hidup, literasi dan komunikasi.

"Kebanyakan kanak-kanak yang datang kepada kami adalah dari rumah anak-anak yatim dan rumah perlindungan atau kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah.

"Matlamat projek ini adalah untuk menangani masalah pendidikan yang mungkin dihadapi kanak-kanak ini," kata Yans.

Projek tersebut yang menggunakan sistem kesukarelawan dan bekerja dengan kanak-kanak dalam satu kumpulan kecil atau secara individu bergantung kepada tahap kesukaran akademik setiap kanak-kanak.

"Kita tidak mengikut peringkat sekolah kanak-kanak itu tetapi berdasarkan keupayaan pembelajaraan mereka," kata Yans.

Namun, salah satu perkara yang membantutkan usaha projek ini daripada diteruskan adalah kekurangan sukarelawan.

"Oleh yang demikian, saya mencipta sukarelawan secara dalam talian menerusi Skype," kata Yans yang menambah program tersebut berjaya setakat ini.

Beliau berkata ia ditubuhkan selari dengan kelas literasi dijalankan di pusat tersebut, selain memberi lebih peluang kepada kanak-kanak untuk membaca.

Kanak-kanak dibawa ke pusat tersebut yang terletak di Taman Tun Dr Ismail selepas waktu sekolah.

Katanya, mereka boleh menghadiri salah satu kelas atau mengambil bahagian dalam sesi membaca menerusi Skype.

Sukarelawan perlu menjalani pemeriksaan latar belakang dan satu sesi temuramah akan diadakan sebelum mereka dibenarkan membimbing kanak-kanak tersebut.

"Saya fikir dalam tempoh tujuh tahun, kita akan melihat ramai kanak-kanak meningkat dari perkembangan mereka.

"Malah sebahagian daripada mereka melakukannya dengan cepat, potensi luar biasa yang tidak dikesan sebelum ini," katanya.

Projek Right To Learn, Skype

Artikel Lain