suria

Rang DFT Suku Tahun 3/2015 Kini Dipamer Sehingga 9 November - SPR

PUTRAJAYA: Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi Suku Tahun 3/2015 kini dipamerkan selama 14 hari mulai 27 Oktober hingga 9 November selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata DPT dipamerkan di 962 tempat di seluruh negara antaranya pejabat pilihan raya negeri; pejabat pos berkomputer; kompleks/pejabat kerajaan; pejabat daerah/pejabat tanah; majlis daerah/perbandaran dan dewan serbaguna/rukun tetangga serta balai raya.

Beliau mengingatkan pemohon yang mendaftar sebagai pemilih atau menukar alamat supaya menyemak DPT itu dan sekiranya mendapati nama mereka tiada dalam senarai maka tuntutan boleh dibuat sepanjang tempoh pameran dengan mengisi Borang B.

Katanya, pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam DPT tersebut boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan subperaturan 15(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Ghani berkata SPR turut mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih antara lain kerana telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara.

Dalam pada itu, beliau berkata SPR menerima sebanyak 69,640 permohonan sebagai pemilih sepanjang tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun 3/2015 iaitu untuk bulan Julai, Ogos dan September lalu.

Katanya daripada jumlah itu, 57,255 merupakan pendaftaran pemilih baharu, manakala 12,385 lagi merupakan permohonan untuk pendaftaran tukar alamat oleh pemilih sedia berdaftar.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-88927000 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau melayari laman sesawang suruhanjaya di www.spr.gov.my. - BERNAMA

Daftar Pemilih Tambahan, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Lain