suria

Tolak Vaksinasi Lambang Masyarakat Terkebelakang - Dr Siti Hasmah

Siti Hasmah menerima Anugerah Khimat Kemanusiaan Antarabangsa Kiwanis 2015 daripada Presiden Kiwanis Antarabangsa, Sue Petrisin atas sumbangannya di majlis yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Gabenor Kivanis Malaysia, Datuk Fatimah Saad.

PUTRAJAYA: Tindakan sesetengah ibu bapa menolak pemberian vaksin untuk anak mereka melambangkan sikap masyarakat negara ini yang terkebelakang, kata Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

"Adalah sesuatu yang menyedihkan dengan tindakan kumpulan anti vaksinasi ini. Kenapa kita menjurus ke arah itu? Kenapa kita berundur," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menegaskan pentingnya vaksin, beliau berkata, bersikap seperti biasa bukan penyelesaian walaupun ia dilihat umpama sesuatu yang hebat.

"Saya setuju, tetapi jika wabak berlaku apakah bertindak natural itu sesuatu yang penting," soalnya.

Dr Siti Hasmah menambah, khidmat beliau selama 22 tahun dalam bidang perubatan seolah-olah tidak berguna apabila isu berkenaan timbul.

"Saya bekerja dengan ramai doktor dan kakitangan perubatan, di mana kami bekerja keras untuk mengurangkan kadar kematian di kalangan ibu dan anak," katanya.

Dr Siti Hasmah berkata, saranan kumpulan anti vaksinasi kerana adanya golongan yang tidak berpelajaran yang cuba bersikap sebaliknya.

"Tetapi sekarang kita seolah-olah terkebelakang dan menjadi tidak berpendidikan. Kini saya perlu mendidik ibu bapa yang seharusnya memastikan keadaan fizikal atau mental anak-anak mereka terpelihara," katanya.

Kebanyakan ibu bapa memilih menolak vaksin untuk anak mereka berdasarkan dakwaan bahawa suntikan yang diberi kepada bayi itu haram dan ia mengandungi DNA babi.

Selain itu, ada juga dakwaan bahawa sesetengah kanak-kanak menghidapi alahan disebabkan pengambilan vaksin itu.





Dr Siti Hasmah Mohd Ali, vaksin, DNA

Artikel Berikut

Artikel Lain