suria

Persembahan Kumpulan Indie Serap Mesej Integriti

PETALING JAYA: Institut Integriti Malaysia (IIM) akan mengadakan Malam Seni Integriti pada malam ini dengan menampilkan persembahan kumpulan indie ke arah merealisasikan usaha untuk menerapkan mesej integriti di kalangan masyarakat.

Penyelaras Program Warisan dan Budaya IIM, Fison Hamdi Ahmad berkata, acara kesenian yang terbuka kepada orang ramai secara percuma ini merupakan penganjuran siri kelima yang diadakan setiap bulan sejak Jun lalu.

“Malam Seni Integriti bermatlamat untuk mempromosikan integriti kepada masyarakat menggunakan pendekatan seni kerana sebelum ini Institit Integriti Malaysia lebih banyak menganjurkan acara lebih serius seperti ceramah, forum, perbincangan dan sidang meja bulat.

“Seni boleh dijadikan medium untuk menyampaikan mesej integriti kepada umum memandangkan ia merupakan pendekatan yang mudah diterima masyarakat terutama golongan muda. Seni bukan sekadar hiburan tetapi ia juga boleh mendidik dan memberikan motivasi,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Malam Seni Integriti pada malam ini  bertemakan ‘Integriti: Tradisi Berevolusi dengan persembahan kumpulan indie Floor 88 yang terdiri daripada sembilan anak muda memperjuangkan muzik tradisional dan moden.

“Kumpulan Floor 88 ini merupakan kumpulan muzik yang memperjuangkan muzik tradisional dan moden. Mereka juga merupakan juara pertandingan ‘Asean Soul and Pop Rock Music' di Saigon, Vietnam pada bulan lalu.

“Kami berharap Malam Seni Integriti dapat menarik penyertaan orang ramai, selain turut menggalakkan penggiat seni tanah air untuk bersama-sama datang memberikan sokongan dalam usaha mempromosikan integriti kepada masyarakat,” katanya sambil menambah bahawa Malam Seni Integriti sebelum ini pernah mengadakan pelbagai persembahan seni seperti nasyid, puisi dan tayangan filem pendek.

Malam Seni Integriti pada malam ini dijadualkan berlangsung pada pukul 8.30 malam di Auditorium, Aras 2, Menara Integriti, Institut Integriti Malaysia di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin off Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain