suria

Kerajaan Faham Masalah Capaian Internet Di Sekolah

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan menyedari masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah terutamanya guru-guru berhubung masalah capaian internet di sekolah-sekolah.

Katanya, kedudukan geografi menjadi salah satu faktor masalah capaian internet di sekolah-sekolah di negara ini dan kerajaan sedang berusaha untuk menanganinya.

Katanya capaian internet telah dibahagikan kepada enam komponen kedudukan geografi iaitu bandar, pinggir bandar, luar bandar, pedalaman serta tiga lagi pecahannya.

“Sudah tentu capaian internet di kawasan bandar adalah lebih besar.

“Setakat ini sebanyak 6,688 buah sekolah di negara ini sudah pun dibekalkan bekalan dan capaian internet lebih besar dan kita akan teruskan usaha-usaha untuk menangani isu ini secara berperingkat,” katanya menjawab soalan mengenai masalah yang yang dihadapi guru-guru sejak sistem kerja dalam talian diperkenalkan yang dikemukakan oleh Mohd Fasiah Fakeh (BN-Sabak Bernam).

Mohd Fasiah juga bertanya mengenai langkah kerajaan bagi mengurangkan bebanan kerja luar hakiki guru.

Mahdzir yang juga ahli Parlimen Padang terap berkata masalah ini dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat apabila pembinaan menara komunikasi di kawasan sekolah disiapkan.

Mengulas lanjut mengenai tugas hakiki seorang guru, beliau berkata kajian kementerian mendapati seorang guru secara purata memperuntukkan selama 48 jam seminggu untuk kurikulum dan dua hingga enam jam seminggu untuk ko-kurikulum.

“Secara purata kita mendapati seorang guru mengambil masa kira-kira 56 jam seminggu untuk tugas-tugas hakiki mereka.

“Kita akan pastikan pengurusan peringkat kementerian, negeri dan daerah mematuhi surat Pekeliling yang diedarkan supaya kualiti pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas,” katanya.

Internet, Sekolah, Guru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain