suria

Dua Pengedar Dadah Ditahan Di Melaka

MELAKA: Polis Melaka menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas heroin bernilai kira-kira RM10,000 di Jalan Cheng di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata kedua-dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 27 tahun itu ditahan dalam tangkapan berasingan di sekitar Cheng, pada pukul 5 petang dan 6.30 petang.

"Dalam tangkapan itu, polis berjaya merampas kira-kira 600 gram dadah dipercayai heroin daripada mereka.

"Polis turut merampas dua kereta yang digunakan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Katanya siasatan awal polis mendapati kedua-dua lelaki berkenaan merupakan pengedar kecil-kecilan dalam satu rangkaian dadah yang sama.

Mengulas lanjut, Shaikh Abdul Adzis berkata polis juga percaya kedua-dua suspek berkenaan mengedar dadah di sekitar Cheng serta Taman Melaka Raya di sini dan mula bergerak aktif kira-kira lima bulan lepas.

Beliau berkata kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan polis kini sedang menjejaki rangkaian dadah serta punca bekalan dadah itu diperoleh.

Justeru, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti atau penyalahgunaan dadah diminta menghubungi polis.

Suspek ditahan reman tujuh hari bermula pada Jumaat untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

pengedar dadah, Melaka

Artikel Sebelum

PM Mula Bentang Bajet 2016

Artikel Lain