suria

Dr Wan Azizah Kemuka Usul Undi Tidak Percaya Terhadap PM

Datuk Seri Dr Wan Azizah
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Khamis mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul itu dikemukakan pada pukul 1 tengah hari tadi di pejabat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Walaupun usul itu diterima oleh pejabat Pandikar, keputusan belum dibuat sama ada ia akan dimasukkan ke dalam kertas perintah persidangan kali ini yang akan membincangkan tentang Bajet 2016.

Sebanyak 112 undi daripada 222 ahli-ahli parlimen diperlukan untuk usul itu diluluskan.

Walaupun dengan sokongan PAS, pembangkang hanya boleh mendapat 88 undi. Oleh itu, keputusan akhir mengenai usul itu bergantung kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional.

"Anda perlu tunggu dan lihat," kata Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR di lobi Parlimen ketika ditanya sama ada mana-mana Ahli Parlimen kerajaan akan menyokong usul itu.

Beliau berkata Pandikar menerima usul itu walaupun sebelum ini beliau mencadangkan supaya pembangkang mengemukakan nama-nama orang yang akan menyokong usul itu.

"Perlu diambil perhatian bahawa usul itu hanya berkaitan dengan kehilangan keyakinan terhadap Datuk Seri Najib, tetapi tidak dalam Kerajaan.

"Ini kerana saya dan lain-lain tanpa mengira fahaman politik percaya bahawa krisis ekonomi, sosial dan politik yang sedang dihadapi di negara ini adalah disebabkan oleh krisis kepimpinan," kata Dr Wan Azizah.

"Saya percaya semua ahli Parlimen akan mengundi mengikut suara hati mereka.

"Kita perlu mengenepikan politik dan meletakkan kepentingan negara di atas segala-galanya. Kita tidak boleh mengekalkan seseorang dengan jawatannya sementara beribu-ribu yang lain kehilangan kerja," katanya.

Artikel Lain