suria

Laporan Terperinci Mangsa Kren Tumbang Dijangka Siap Hujung Oktober - TH

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
KUALA LUMPUR: Laporan terperinci berhubung jemaah haji Malaysia yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas, dijangka siap selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata Tabung Haji akan mengumpul segala maklumat termasuk laporan perubatan 11 mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada Kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk pengesahan bagi tujuan pampasan.

"Semua ini perlu diperhalusi sebagaimana mengikut kaedah yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas melawat seorang daripada mangsa, Mohd Nor Azman Hassan, 44, yang cedera dalam kejadian itu, di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dekat sini, Khamis.

Mohd Nor Azman yang patah tulang bahu kanan dan tiga tulang rusuk adalah antara 11 mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

Tujuh jemaah haji Malaysia terkorban dalam kejadian itu.

Abdul Azeez berkata laporan itu akan disiapkan selepas semua jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air dengan penerbangan terakhir pada 28 Oktober ini.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan akan memberi pampasan sejumlah Saudi Riyal (SR) 1 juta (RM1.3 juta) kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram itu manakala SR500,000 (RM650,000) untuk yang mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Mohd Nor Azman ketika menceritakan kembali detik itu berkata ketika kejadian, beliau baru sahaja mahu memulakan tawaf dan dalam sekelip mata satu objek menghempapnya menyebabkan beliau tidak sedarkan diri kira-kira 45 minit.

"Saya sedar apabila saya sudah ditempatkan dalam satu kawasan di masjid sebelum dibawa keluar ambulans ke hospital untuk menerima rawatan," katanya sambil mengucapkan terima kasih atas bantuan Tabung Haji yang memudahkan urusan beliau ketika mendapat rawatan di sana.

Artikel Berikut

Artikel Lain