suria

Keputusan DNA Rangka, Mayat Murid Orang Asli Diketahui Esok

Datuk Mazlan Lazim
KOTA BAHARU: Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap satu rangka dan satu mayat yang ditemui ketika pencarian sekumpulan murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi awal bulan ini, akan didedahkan Jumaat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata ia akan menjurus kepada penentuan identiti seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang dan yang sedang dicari oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

"Kita akan mengetahui siapa yang tidak dijumpai lagi, sama ada Linda Rosli, 8, ataupun Haikal Yaakob, 8," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Pencegahan Jenayah Konvoi Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini Rabu.

Pada 16 Oktober lepas, Jabatan Kimia mengesahkan identiti mayat kanak-kanak yang ditemui pada 9 Okt adalah Ika Ayel, 9, dan satu rangka yang ditemui pada 11 Okt ialah Juvina David, 7.

Sebelum itu, pada 7 Oktober, pasukan SAR menemui satu mayat kanak-kanak yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8, oleh anggota keluarganya, manakala pada 8 Oktober pula, pasukan sama menemui satu tengkorak dan beberapa tulang rusuk kanak-kanak yang tidak diketahui identiti.

Dua lagi kanak-kanak tersebut - Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11 - ditemui hidup pada 9 Oktober selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan apabila bertindak melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dikenakan hukuman kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Mazlan sebelum ini berkata ujian DNA terhadap mayat dan rangka yang ditemui tetap dijalankan bagi mendapatkan kepastian identiti mangsa di sebalik  pengecaman oleh anggota keluarga terlibat.

Artikel Lain