Doris Jones Rancang Kembali Ke Malaysia Dengan Pasport UK - Semasa | mStar

Doris Jones Rancang Kembali Ke Malaysia Dengan Pasport UK

Doris Jones.

KOTA KINABALU: Aktivis kelahiran Sabah yang berpangkalan di London, Doris Jones merancang untuk kembali ke Malaysia dengan pasport antarabangsa United Kingdom yang baharu dikeluarkan.

Jones yang merupakan individu disebalik Gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) berkata beliau sudah merancang untuk kembali ke Sabah dengan dokumen perjalanan baharunya selepas permohonan untuk memperbaharui pasport Malaysia ditolak.

"Saya tak akan beritahu anda bila saya akan pulang, saya ada keluarga di sana," kata Jones ketika dihubungi di London pada Isnin.

Jones bagaimanapun berkata beliau masih lagi rakyat Malaysia walaupun memiliki taraf penduduk tetap di United Kingdom sejak 20 tahun.

Wanita berusia 45 tahun itu yang dikenal pasti polis Sabah sebagai Yapp Kim Youn dari Labuan berkata dirinya masih lagi anak jati Sabah.

"Saya tidak memohon kerakyatan British, saya hanya memohon dokumen perjalanan kerana Malaysia enggan memperbaharui pasport saya," kata Jones.

Pada Ahad lalu, Jones dalam laman Facebooknya berkata beliau telah menyelesaikan isu pasportnya di United Kingdom tanpa sebarang masalah.

Katanya, permohonan untuk memperbaharui pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London ditolak dan beliau ditawarkan sijil kecemasan bagi perjalanan sehala dan dikehendaki memperbaharui pasport tersebut di Putrajaya.

"Saya mahu memperbaharui pasport di Kota Kinabalu, mengapa Putrajaya," katanya.

Polis di sini memperoleh waran tangkap terhadap Jones yang dikehendaki atas tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Namun usaha pihak berkuasa untuk mengekstradisi Jones tidak berhasil kerana undang-undang Britain tidak mengiktiraf kesalahannya di bawah akta tersebut.



Doris Jones , pasport , UK

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain

Nasharudin Mat Isa akan didakwa Selasa