suria

Telco Diberi Sehingga 31 Oktober Tawar Harga Kad Prabayar Sebelum GST

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) diberi tempoh sehingga 31 Oktober ini untuk memastikan harga kad prabayar untuk penggunaan telefon mudah alih kembali seperti sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan telco yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya jika mereka masih berdegil.

Johari Abdul Ghani

"Telco perlu menyesuaikan sistem mereka sendiri jika mereka mahu mengenakan GST, cari cara yang sesuai, caj berdasarkan penggunaan dan bukan semasa pembelian tambah nilai kerana cara begini tidak memudahkan pelanggan.

"Saya menjangka mereka dapat memenuhi janji ini sebab kita telah memberi banyak masa," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Katanya kerajaan juga tidak akan menerima alasan daripada pihak telco bahawa sistem komputer mereka belum bersedia berikutan tempoh yang lama telah diberikan sejak pelaksanaan GST pada 1 April lepas.

Semalam, Johari berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon kembali seperti asal pada 1 November ini.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan antara JKDM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk memastikan pengguna tidak lagi dikenakan bayaran tambahan apabila membeli kad prabayar.-- Bernama

Telco, kad prabayar, GST

Artikel Lain