suria

Guru, Polis, Jururawat Diberi Keutamaan Diami Kuarters Putrajaya

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
PUTRAJAYA: Guru, jururawat dan anggota polis akan diberi keutamaan dalam permohonan menduduki perumahan penjawat awam di Putrajaya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata perkara itu telah diajukan kepada Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

"Bilangan kuarters adalah terhad tetapi jumlah permohonan sentiasa bertambah di mana sehingga kini terdapat kira-kira 17,000 pemohon berada dalam senarai menunggu.

"Sebagai menangani masalah itu, saya telah berbincang dan meminta BPH memberi keutamaan kepada guru, jururawat dan anggota polis dalam memberi kelulusan untuk mendiami kuaters kerajaan di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa majlis penyampaian hadiah pertandingan menghias sekolah dan kelas bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) dinobatkan sebagai sekolah terbaik keseluruhan pertandingan, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 piala dan sijil.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain