suria

Majlis Peguam Nyatakan Kebimbangan Terhadap Kes Bunuh Morais

Steven Thiru
PETALING JAYA: Majlis Peguam bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan polis dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.

Presidennya Steven Thiru berkata majlis itu bersedia membantu dalam menguatkuasa dan menegakkan kedaulatan undang-undang dalam perkara ini.

"Tragedi yang menimpa Kevin Morais tidak harus berulang, dan sudah tentu tidak lagi untuk mana-mana ahli profesion undang-undang ketika melaksanakan tugas profesional mereka atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Thiru berkata majlis bimbang dengan persekitaran kes itu. Dipercayai Morais telah dibunuh kerana kes rasuah yang disiasat beliau.

"Penculikan dan seterusnya pembunuhan adalah perbuatan keji dan pengecut, dan merupakan serangan ke atas kebebasan profesion undang-undang," katanya.

Beliau menyeru semua ahli-ahli profesion undang-undang, sama ada daripada Majlis Peguam atau Pejabat Peguam Negara, untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan melaksanakan tugas-tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Mayat Morais ditemui dalam tong drum minyak di dalam paya di Jalan Subang 3 berikutan penangkapan tujuh suspek, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak.

Morais hilang selepas meninggalkan kediamannya di Menara Duta pada 4 September untuk tugasnya di Putrajaya menaiki Proton Perdana warna kelabu dengan nombor pendaftaran  WA6264Q.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya empat suspek mengekorinya di dalam kereta lain melalui kawasan trafik sesak semasa dia sedang dalam perjalanan untuk bekerja sebelum menculiknya di Bangsar.

Suspek dilaporkan menghampiri Morais dalam keretanya dan memaksanya keluar sebelum dia diheret ke dalam kenderaan mereka.

Artikel Lain