suria

Ahmad Zahid Puji PDRM Pantas Selesai Kes Bunuh Kevin Morais

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
SINTOK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji kepantasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes kehilangan dan pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Anthony Kevin Morais.

Sambil menyifatkannya sebagai kes berat, beliau berkata PDRM membuktikan kemampuannya mengendalikan penyiasatan hingga dapat menyelesaikan kes itu.

"Walaupun kes diklasifikasikan sebagai berat dan mayat mangsa disimen, dimasukkan dalam tong dan dicampak ke dalam parit, namun kecekapan PDRM (menyelesaikannya) harus dipuji," kata beliau.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meminta polis segera memburu dalang kes berkenaan tanpa mengira latar belakangnya walaupun dia anggota beruniform.

"Buru dalang dan perancangnya walaupun orang itu adalah anggota beruniform," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Pengurusan Sempadan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Khamis.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan mayat di dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, Selangor merupakan mayat Kevin Morais, yang hilang sejak 4 September lepas ketika memandu kereta ke pejabatnya di Putrajaya.

Mayat Kevin Morais ditemukan di dalam tong itu selepas seorang daripada tujuh suspek membawa polis ke lokasi tong itu pagi ini di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Kevin Morais, 55, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan memandu kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.

Dalam pada itu, Ahmad Zahidmengarahkan PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan lain supaya mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata tindakan sedemikian mampu mengembalikan integriti dan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan negara.

"Saya beri kuasa kepada PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan lain, ambillah tindakan undang-undang, tindakan pantas supaya masyarakat ada keyakinan balik.

"Mereka (agensi penguatkuasaan) perlu menunjukkan kepada awam tentang integriti mereka dengan mengambil tindakan yang pantas dan tegas," katanya.

Ahmad Zahid turut bimbang dengan penyalahgunaan kuasa dan kebocoran maklumat yang berlaku di dalam agensi-agensi penguatkuasaan akibat amalan rasuah.

"Ada segelintir anggota yang mudah terlena dengan pujuk rayu wang ringgit sehingga menyebabkan sempadan negara dicerobohi," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota-anggota penguat kuasa supaya tidak terpengaruh dengan unsur negatif hingga melakukan penyalahgunaan kuasa dan rasuah semasa menjalankan tugas menjaga keselamatan negara.

Menurutnya penjenayah tidak pernah 'tidur' dan anggota penguat kuasa perlu sentiasa berwaspada mengesan perbuatan mereka.

Artikel Berikut

Artikel Lain