suria

25 Exco Pemuda, Muslimat PAS Johor Sertai Amanah

JOHOR BARU: Seramai 25 anggota Exco Pemuda dan Muslimat PAS Johor termasuk ketua kedua-dua sayap parti itu mengumumkan peletakan jawatan dalam parti bagi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Semalam, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan 'Amanah' akan digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.

Pengerusi HB Johor Aminolhuda Hassan berkata, peletakan jawatan beramai-ramai ahli PAS Johor bagi menyertai parti baru ini bukan kerana dipaksa, tetapi kerana ia (parti baru) lebih menepati hala tuju yang diingini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Mohd Faizul Mohd Salleh dan Ketua Dewan Muslimat Pas negeri Norhayati Bachok antara mereka yang meletakkan jawatan.

"Kita mahu lebih fokus kepada isu rakyat, maknanya pendekatan kita lebih mendekati masalah rakyat dan bukan permasalahan dalaman.

"Kita menggunakan pendekatan parti baru iaitu Amanah, Inklusif dan Peduli," kata Aminolhuda ketika mengumumkan perkara itu, di sini, Selasa.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, berkata pihaknya menyasarkan seramai 5,000 keanggotaan baru menjelang pelancaran parti itu peringkat negeri 11 September ini.

Pada 24 Ogos lalu, seramai 91 ahli jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Gelang Patah meletakkan jawatan masing-masing.

Semalam, Mat Sabu, bekas timbalan presiden PAS berkata, HB telah mengambilalih Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang dijenamakan semula sebagai Amanah. -- Bernama

Amanah, PAS Johor

Artikel Lain