suria

Individu Pijak Gambar Najib, Hadi Diminta Tampil Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR: Polis menggesa dua individu dipercayai peserta perhimpunan Bersih 4 tampil bagi membantu siasatan berhubung insiden gambar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipijak.

Menurut kenyataan di laman Facebook PAS, gambar yang menunjukkan Abdul Hadi dan Najib sedang berdakap itu dibuat menggunakan teknik super-impose dan ia adalah 'fitnah dan berniat hajat'.

Ketua Pesuruhjaya PAS Wilayah PersekutuanMohamad Noor Mohamad, yang diiringi tiga ahli PAS membuat laporan berhubung gambar itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada Selasa supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Zainuddin Ahmad berkata kedua-dua individu itu diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi segera bagi membantu siasatan.

Beliau mengesahkan bahawa kes itu sedang disiasat oleh Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana niat hendak menyebabkan ketakutan atau mendatangkan khianat awam.

Terdahulu pada Selasa, Mohamad Noor menyifatkan tindakan memijak gambar itu sebagai tidak rasional dan provokatif dan menuntut permohonan maaf daripada penganjur Bersih 4 dan individu yang terlibat.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara demokrasi.

"Ia boleh menghasut kemarahan, mengancam ketenteraman awam dan melanggar privasi individu," katanya kepada pemberita.

Mohamad Noor berkata pilihan terbaik adalah supaya pihak penganjur dan individu yang terlibat tampil ke hadapan dan meminta maaf.

"Jika mereka minta maaf, saya fikir perkara ini sudah selesai. Minta maaf dan semua orang akan berasa senang.

"Kita bimbang jika mereka tidak mengambil apa-apa tindakan, ia boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan kebencian di kalangan rakyat," katanya.

Artikel Lain