suria

Kerajaan Akan Ambil Langkah Pertahankan Ringgit

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil langkah untuk mempertahan ringgit, sekali gus menangani impaknya terhadap industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah ini akan diambil bagi membantu usahawan tempatan, terutama Bumiputera, yang terjejas akibat kedudukan ekonomi yang tidak menentu.

"Melihat kembali kepada krisis kewangan 1997-1998, kerajaan sememangnya memberi bantuan kepada PKS dan usaha ini akan diteruskan," katanya pada sesi dialog mengenai pasaran eksport dan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Sesi dialog yang dihadiri oleh 78 syarikat berprestasi tinggi (TeraS) pelbagai sektor itu, dianjurkan sempena sesi jaringan bersama-sama syarikat tersebut, Khamis.

Sementara itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperuntukkan RM120 juta untuk menjayakan tiga program kolaborasi bersama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), SME Bank dan SME Bank Corporation Malaysia, bagi membantu usahawan Bumiputera.

"Daripada jumlah tersebut, RM100 juta akan diperuntukkan kepada SME Bank untuk menyediakan pembiayaan ekuiti kepada syarikat berkelayakan yang akan membolehkan pengambilalihan ekuiti, atau memperkembangkan perniagaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Datuk Husni Salleh.

Sejumlah RM10 juta lagi akan diperuntukkan menerusi program pembinaan kapasiti praeksport bagi membantu usahawan Bumiputera dalam pembinaan jenama serta aktiviti pembangunan seperti penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan.

Selain itu, RM10 juta akan disalurkan kepada program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube 2.0) bagi menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan dengan menyediakan bimbingan, nasihat serta bantuan kewangan melalui program geran perniagaan dan sistem kawan (Buddy System) dan aktiviti pengurusan.

Mata Wang, Ringgit

Artikel Sebelum

Artikel Lain