suria

Mukhriz Kesal Ucapan Perwakilan Umno Langkawi

Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kesal dengan seorang anggota perwakilan Umno Langkawi yang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Beliau menyifatkan kata-kata anggota perwakilan itu sebagai 'kesat' dan tidak sepatutnya berlaku.

"Kadang-kadang cara perasaan itu diluahkan, dengan kata-kata yang agak kesat. Yang itu saya sedikit kesal...bukan sedikit, memang rasa kesal," katanya selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian antara BDB Land Sdn Bhd, Maybank dan OCBC Al-Amin di sini, Khamis.

Setakat ini, katanya tiada apa-apa aduan dibuat oleh Umno Langkawi terhadap anggota perwakilan itu dan berharap insiden itu tidak berulang lagi.

Anggota perwakilan Wanita Umno itu mengkritik Najib yang juga Perdana Menteri pada mesyuarat perwakilan UMNO Langkawi minggu lepas.   

Mukhriz berkata, beliau juga menerima beberapa laporan mengenai ucapan-ucapan penangguhan di peringkat Pemuda UMNO yang boleh dianggap keras bahasanya.

"Apa sekali pun yang mahu disampaikan, biarlah dengan cara berhemah," katanya. - Bernama

Mukhriz Mahathir

Artikel Lain