suria

Lima Universiti Guna Sistem CGPA Baharu September Ini

Idris memberi penerangan mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 ketika menghadiri program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) "Soaring Upwards" pada Sabtu. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Lima buah universiti awam akan melaksanakan Sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) Bersepadu untuk mentaksir pencapaian penuntut mulai September ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata ia menjadikan Malaysa sebagai negara pertama berbuat demikian bagi melahirkan pelajar holistik berciri keusahawanan dan seimbang.

Sistem CGPA Bersepadu merupakan satu daripada insiatif di bawah lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) (PPPM-PT).

"Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan antara lima universiti yang dapat melaksanakan sistem ini pada September ini," katanya selepas Sesi Taklimat Awam Jelajah Kementerian Pengajian Tinggi: Peningkatan Berterusan di sini pada Sabtu.

Majlis turut dihadiri timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching serta Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Idris berkata dengan pelaksanaan sistem itu, pelajar bukan sahaja akan dinilai dari segi pencapaian akademik tetapi juga secara keseluruhan termasuk penglibatan dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawanan, kepimpinan atau kerohanian.

Sementara itu, beliau berkata, Pahang menjadi negeri pertama diadakan program Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi: Peningkatan Berterusan itu.

Katanya program itu akan diteruskan ke negeri-negeri lain selepas ini dalam usaha kementerian untuk memberi keyakinan dan fakta yang benar kepada rakyat tentang sistem pendidikan tinggi di negara ini.

"Kita tidak mahu mereka (rakyat) mengatakan sistem pendidikan tercorot sedangkan sistem pedidikan bukan sahaja hebat, tetapi juga universiti awam kita juga turut diikitraf sebagai antara yang terbaik di dunia," katanya.

Ini terbukti apabila lima universiti tempatan tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dalam Asia dan satu universiti dalam kelompok 200 terbaik di seluruh dunia seperti yang dilaporkan dalam 'QS World University Rankings in 2014', katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain