suria

MH370: Usaha Cari Lebih Banyak Serpihan Disambung Semula Di Pulau Reunion

KUALA LUMPUR: Usaha mencari lebih banyak serpihan pesawat MH370 disambung semula hari ini di Pulau Reunion selepas ditangguhkan sejak Jumaat kerana cuaca buruk, demikian menurut laporan Agence France-Presse (AFP).

Agensi berita itu melaporkan bahawa sebuah pesawat berlegar di ruang udara sementara pasukan mencari menjalankan pencarian di kawasan timur pantai dipulau milik Perancis itu.

"Unit-unit tentera laut dan polis akan dikerah hanya jika serpihan dijumpai di laut," kata pejabat kerajaan tempatan dalam satu kenyataan, yang memetik AFP.

Menurut agensi berita itu, pasukan mencari menggunakan pesawat pengangkut kecil tentera dalam pencarian selain menggunakan tiga helikopter polis dan tentera laut serta tiga buah bot.

AFP melaporkan bahawa usaha mencari juga dijalankan di pulau Mauritius yang terletak berhampiran.  

Awal pagi Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengunumkan bahawa seriphan dikenali sebagai flaperon (komponen sayap pesawat) yang dijumpai di Pulau Reunion ialah milik Malaysia Airlines (MAS) MH370. 

Rekod penyelenggaraan dan tanda pengesahan (seal) teknikal pada flaperon adalah bukti konklusif bahawa serpihan tersebut ialah dari pesawat MH370. 

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang dari imbasan radarpada 8 Mac, 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal.

MH370, Pulau Reunion

Artikel Lain