suria

Pemimpin Umno Bahagian Johor Bidas Pertukaran Pegawai Kanan SPRM

Ismail Mohamed.

PAGOH: Seorang pemimpin Umno Bahagian Johor membidas tindakan pertukaran dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berkuatkuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata tidak pernah berlaku insiden pegawai SPRM mengadakan doa selamat khas untuk diri mereka sendiri.

"Mereka mungkin tertekan dan menerima ugutan sepanjang melakukan kerja-kerja mereka," katanya semasa mesyuarat perwakilan Umno di sini, Sabtu.

Ismail turut menggesa ahli Umno supaya menolak pemimpin yang terlibat rasuah kerana ia akan memusnahkan parti.

Beliau berkata pemimpin perlu tahu bila untuk pergi bercuti terutamanya apabila negara berdepan masalah besar.

"Kami tidak mahu kes seperti di Filipina, di mana pemimpin mereka disingkirkan kerana pemberontakan rakyat," katanya.

Dengan merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ismail berkata, bapa Najib, perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein membantu orang Melayu terutamanya di kawasan luar bandar semasa era pemerintahannya.

"Bagaimana beliau boleh bertindak sebegini?," katanya tanpa menyebut nama Najib.

Ismail berkata Umno ditubuhkan di Johor dan pemimpin setempat perlu memainkan peranan utama untuk memastikan parti itu tidak dimusnahkan.

Beliau turut mengecam pemimpin yang bersikap 'yes men' dengan menegaskan kedudukan mereka tidak kekal.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain