suria

Sudah Tiba Masanya Kawalan Terhadap Portal Berita - Ronald

Dr Ronald (duduk) menggunakan kemudahan komputer di Pusat Internet 1Malaysia Kampung Gana Jati yang dirasmikan oleh beliau pada Jumaat. - fotoBERNAMA

BELURAN: Sudah sampai masanya kawalan terhadap portal berita dan siaran melalui media sosial dilakukan dalam usaha menjaga keharmonian negara dan perpaduan rakyat, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata dalam era digital dan kebebasan bersuara, ia telah digunakan oleh portal berita tanpa had hingga menjejaskan keharmonian negara dan perpaduan rakyat.

Katanya kesan penyalahgunaan oleh portal berita menerusi media sosial amat bahaya memandangkan sesiapa sahaja akan mempunyai akses dari seluruh pelosok dunia.

"Portal berita tidak dikawal oleh sesiapa kecuali pengendalinya sendiri yang membezakannya dengan media massa konvensional yang biasanya ada 'gatekeepers'.

"Kesannya dapat dilihat pada masa sekarang menerusi kewujudan banyak portal berita dan digunakan oleh pihak yang memuat naik sesuatu maklumat, kandungan atau menyatakan pendapat tanpa memikirkan kesannya terhadap kepentingan awam," kata anggota Parlimen Beluran itu, ketika merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Gana Jati, dekat sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Ronald berkata usaha kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan mewajibkan portal berita didaftarkan di bawah pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Oktober adalah tepat pada masanya.

Ini kerana, katanya, sebarang aktiviti yang dibuat melalui media sosial tanpa mendukung prinsip kebertanggungjawaban dan yang bertentangan dengan nilai etika, moral, budaya atau ideologi negara seperti penghebahan ucapan kebencian, fitnah serta kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan, yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Katanya lebih buruk lagi, akhir-akhir ini semakin banyak penghinaan dilakukan terhadap agama, Institusi Raja, pemimpin negara dan kaum.

Ronald berkata benih penghinaan melalui media sosial ini jika tidak dikawal mampu menghakis keyakinan dan kecintaan rakyat kepada negara dan seterusnya menghancurkan masa depan negara yang dibina sejak 57 tahun.

Katanya kebebasan bersuara seharusnya diimbangi bersama dengan kebebasan lain seperti kebebasan untuk melindungi isu-isu kebaikan bersama seperti keselamatan negara atau kepentingan orang awam. 


Artikel Lain