suria

Cuti Polis Tidak Dibeku - KPN

Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan khabar angin bahawa cuti anggota polis dibekukan.

Beliau menafikan anggota polis diberitahu supaya berada dalam keadaan sedia berikutan terdapat khabar angin akan berlaku kekecohan di ibu negara yang disebabkan oleh beberapa perhimpunan yang dirancang bakal diadakan di ibu negara pada hujung minggu ini bagi memberi sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tidak, tiada berlaku perkara itu. Tetapi sudah tentu, kita akan sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan apa juga keadaan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis ketika ditanya mengenai sama ada cuti pegawainya dibekukan seperti dilaporkan sebagai persiapan untuk bersiap sedia terhadap himpunan yang dirancang itu.

Pada Selasa lalu, Muhyiddin digugurkan dari Kabinet sebagai timbalan perdana menteri dan jawatan itu digantikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin turut digugurkan sebagai Menteri Pendidikan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Khalid Abu Bakar

Artikel Lain