suria

Unit Skuba Digerak Bantu Cari Pemancing Hilang

Gambar Hiasan.

MARANG: Unit penyelam mula digerakkan dalam usaha mencari dan menyelamat dua pemancing yang hilang selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka dipercayai karam di perairan Dungun Ahad lalu.

Ketua Cawangan Pengurusan Balai dan Operasi Bomba Negeri, Mohamad Zulkhairul Mohamad Razilah berkata, pasukan yang dianggotai enam pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat kini turut dibantu tiga orang penyelam dari Polis Marin.

"Mereka akan melakukan selaman di beberapa lokasi dan unjam di sekitar perairan Dungun dan Marang. Hari ini jika cuaca baik mereka akan mula menyelam," katanya kepada Bernama.

Bot yang dinaiki dua rakan itu dipercayai sedang memasuki muara Kuala Dungun sebelum karam dipukul ombak.

Mereka yang hilang dikenali sebagai Mohd Sabrie Kamaruddin, 22, dari Dungun dan Mohammad Syahril Asmadi Yusoff, 22, dari Kuala Lumpur.

Mohamad Zulkhairul berkata sektor pencarian telah diperluas dengan merangkumi perairan Pulau Redang, Marang dan Dungun. -- Bernama

bomba, Dungun, polis marin

Artikel Lain