suria

Utusan Gagal Batal Saman MB Pahang

Adnan Yaakob

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Berhad gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman fitnah difailkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung artikel "Hebat Sangatkah Adnan', yang disiarkan pada November lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yeoh Wee Siam menolak permohonan itu dengan kos RM3,000 di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Americk Sidhu mewakili Adnan dan peguam Azhar Arman Ali dan M.Reza Hassan mewakili Utusan Malaysia.

Ketika ditemui pemberita, M.Reza berkata permohonan Utusan Malaysia untuk membatalkan saman itu ditolak selepas mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan peguam bahawa Adnan tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk menyaman Utusan Malaysia kerana beliau dikritik atas kapasiti sebagai Menteri Besar.

M.Reza berkata mahkamah turut membenarkan permohonan Utusan Malaysia untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan Isnin ini, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 5 Disember tahun lepas, Adnan memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia berhubung artikel itu, yang diterbitkan defendan pada 9 November dalam akhbar Mingguan Malaysia, di bawah ruangan 'Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat'.

Beliau mendakwa artikel itu membawa maksud seolah-olah beliau tidak sesuai memegang jawatan menteri besar Pahang, gagal dalam menjalankan tugas, telah terlalu lama dalam jawatannya dan seorang yang berpura-pura.

Plaintif seterusnya mendakwa artikel itu menjejaskan reputasinya dan membawa kebencian dalam kalangan orang awam.

Menurut Adnan, pihaknya telah membuat tuntutan supaya defendan menyiarkan permohonan maaf di muka depan akhbar itu selain menuntut pampasan yang sesuai, namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian.-- Bernama


Adnan Yaakob, Utusan Melayu

Artikel Berikut

Artikel Lain