suria

Lembaga Peperiksaan Diarah Siasat Kesalahan Tatabahasa Kertas Soalan

Idris Jusoh

KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan Malaysia diarah menyiasat dakwaan wujudnya kesalahan tatabahasa dalam kertas peperiksaan awam khususnya mata pelajaran Sains dan Matematik.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, siasatan tersebut perlu dibuat secepat mungkin bagi mendapatkan kesahihan mengenai dakwaan tersebut.

"Saya sudah minta Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk meneliti kesahihan perkara tersebut dan menjawab mengenainya secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program #TanyaGomen mengenai sistem pendidikan di sini, Khamis.

Pada Rabu, laporan muka depan akhbar The Star mendedahkan mengenai penggunaan tatabahasa bahasa Inggeris yang teruk dalam buku latihan mata pelajaran Sains dan Matematik untuk pelajar sekolah.

Satu contoh yang ketara ditemui dalam sebuah buku rujukan Sains untuk pelajar Tingkatan Tiga.

Berdasarkan kata-kata penutup buku berkenaan, dinyatakan bahawa kandungan buku latihan tersebut turut menggunakan soalan sebenar daripada kertas ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga tahun lalu yang digunakan dengan kebenaran Lembaga Peperiksaan Malaysia.



Artikel Lain