suria

11 Murid Cedera, Van Sekolah Bertembung Kereta

Kemalangan yang mencederakan 11 cedera murid SK Mount Austin, Johor Baru, Khamis.

JOHOR BARU: Seramai 11 orang murid Sekolah Kebangsaan Mount Austin di sini dilapor cedera apabila van sekolah yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang tiga Jalan Persiaran Jaya Putra Satu dekat Taman JP Perdana di sini.

Kejadian pada 12.45 tengah hari tadi itu menyebabkan seorang murid perempuan berumur 10 tahun cedera di kepala, seorang murid lelaki berumur 11 tahun cedera di dahi, telinga serta tengkuk manakala sembilan murid lain dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Ismail.

Pemandu van berkenaan dilapor tidak cedera.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Sulaiman Salleh, van tersebut yang dipandu seorang wanita baru sahaja mengambil murid-murid untuk pulang dan sedang menghala dari arah Taman Mount Austin menuju Seri Austin.

"Dipercayai van sekolah itu tidak berhenti sejurus tiba di simpang tiga berkenaan. Dalam masa yang sama, sebuah kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak van tersebut namun terlanggar kenderaan terbabit," katanya.

Beliau berkata kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta itu iaitu seorang anggota Polis Marin berumur 47 tahun bersama empat anggota keluarganya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.-- Bernama

Artikel Lain