suria

KPN Di Thailand Berhubung Siasatan Justo - Bukit Aman

Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kini berada di Bangkok untuk berjumpa dengan rakan sejawatnya di Thailand berhubung siasatan terhadap bekas ekskutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad mengesahkan Ketua Polis Negara ke Thailand berhubung siasatan terhadap Justo.

Terdahulu, sumber Thailand memberitahu The Star pada Khamis bahawa Khalid menghadiri satu mesyuarat bersama Ketua Polis Thailand, Somyot Pumpunmuang dan dikatakan berbincang mengenai kebenaran untuk menyoal siasat warga Switzerland itu berhubung siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justo ditahan di Koh Samui pada Jun lalu kerana mencuri maklumat daripada bekas majikannya dan menuntut PetroSaudi membayarnya 2.5 juta Swiss francs (RM9.9 juta) sebagai bayaran untuk tidak mendedahkan dokumen itu.

Justo dijangka didakwa kerana memeras ugut bekas majikannya dan hanya boleh diekstradisi selepas dia menjalani hukumannya di Thailand.

Dilaporkan, terdapat dakwaan bahawa Justo mengadakan pertemuan dengan beberapa individu tertentu di Singapura bagi membincangkan urusan penyerahan dokumen tersebut.

Video pendedahan bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi baru-baru ini mendakwa Sarawak Report telah membeli beberapa dokumen daripada Justo tetapi telah membuat pemalsuan terhadap dokumen yang lain.


Artikel Lain