suria

Remaja Maut Kereta Terbabas Di Jalan TAR

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki maut manakala dua rakannya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok sebuah restoran nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menghala ke Dataran Merdeka awal pagi Isnin.

Dalam kejadian 12.51 pagi itu, Shahrinnaz Mat Asli, 17, yang cedera parah di kepala, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur, kata Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan.

"Shahrinnaz disahkan meninggal dunia di hospital itu pada 1.15 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Pemandu kereta itu Muhammad Haniff Mustafa, 27, yang bekerja di sebuah bengkel kereta di Rawang, patah kaki dan tangannya manakala Zaiquwan Shah Zainudin, 21, yang duduk di bahagian penumpang belakang, patah paha.

Menurutnya, Muhammad Haniff dipercayai memandu laju kereta itu hingga ia hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987  kerana memandu kenderaan dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Lain