suria

21 Barangan Harga Kawalan Bersempena Aidilfitri - Hasan

Hasan Malek.

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata ia berkuat kuasa dari 7 hingga 23 Julai ini iaitu selama 17 hari berbanding 15 hari pada tahun lepas bagi menyekat kenaikan harga tidak munasabah.

"Skim ini akan berkuat kuasa pada 10 hari sebelum hari raya, pada hari raya dan enam hari selepas hari raya," katanya pada sidang media pengumuman senarai barangan itu, di sini Jumaat.

Beliau berkata harga yang ditetapkan adalah hasil maklum balas daripada pegawai pemantau harga di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara selain perbincangan dengan kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta badan bukan kerajaan (NGO).

"KPDNKK juga sudah memastikan bekalan mencukupi di pasaran dan telah mendapat jaminan hasil daripada perbincangan tersebut," katanya.

Hasan berkata KPDNKK melalui 2,100 penguatkuasanya di seluruh negara akan melaksanakan pemantauan lebih agresif kali ini bagi memastikan rakyat dapat menyambut Aidilfitri dengan cukup selesa.

Beliau berkata skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 dan penjara bagi individu serta denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM50,000 bagi syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan.

"Manakala peniaga yang gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pula bakal berdepan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu atau maksimum RM20,000 atau kompaun RM10,000 bagi syarikat".

Katanya senarai harga barangan terbabit adalah berbeza mengikut zon dan pengguna boleh membuat semakan di laman web KPDNKK di www.kpdnkk.gov.my.

Berikut senarai 21 barangan tersebut:


1. Ayam hidup 

2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

4. Telur ayam gred A 

5. Telur ayam gred B 

6. Telur ayam gred C 

7. Daging lembu tempatan

8. Daging lembu import (dikawal di Sarawak sahaja) 

9. Daging kerbau import (India)

10. Cili merah 

11. Tomato 

12. Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) 

13. Kelapa biji (dikawal peringkat borong sahaja) 

14. Kelapa parut (dikawal peringkat runcit sahaja) 

15. Bawang merah kecil (India)

16. Bawang putih (China)

17. Bawang besar import

18. Ubi kentang import (China)

19. Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

20. Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

21. Ikan aya/tongkol (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) (dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja)

barangan kawalan, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Lain