suria

Najib: Kerajaan Ambil Langkah Tegas Tangani Kebimbangan Fitch

Najib Razak

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah tegas untuk menangani kebimbangan termasuk lebihan akaun semasa negara yang mengecil dan nisbah kecairan luar yang berkurangan seperti yang dibangkitkan oleh Fitch Ratings Agency, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneliti kemungkinan pertambahan dalam liabiliti luar jangka kerana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Walaupun Malaysia gembira dengan penarafan kredit dan semakan menaik prospek Malaysia oleh Fitch Rating Agency, kita berazam untuk mengekalkan dasar kemampanan fiskal kita dan mempunyai asas ekonomi paling kukuh untuk mencapai cita-cita berpendapatan tinggi," kata Najib dalam satu kenyataan.

Agensi penarafan antarabangsa itu semalam mengesahkan penarafan mata wang asing jangka panjang negara pada A- dan menyemak naik unjuran ke atas penarafan kemungkiran penerbit (IDR) jangka panjang kepada stabil daripada negatif.

Najib berkata perkembangan positif ini merupakan satu pengiktirafan kukuh terhadap dasar ekonomi dan kewangan Malaysia berada pada landasan yang betul dan menunjukkan keyakinan pasaran antarabangsa dalam program transformasi negara.

"Kita tegas dalam usaha untuk mengekalkan kemampanan fiskal. Kita bertekad untuk mencapai sasaran pengurangan defisit bajet tahunan, mengurangkan defisit bajet berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar daripada 4.8 peratus kepada 3.2 peratus tahun ini yang akan membawa kepada bajet berimbang dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan cukai penggunaan ini diperluas dan menstabilkan asas pendapatan kerajaan.

"Kita juga telah merasionalisasikan subsidi kita meliputi beberapa subsidi, yang paling ketara, subsidi ke atas minyak.

"Kedudukan bersih dalam pendapatan kerajaan ini akan digunakan untuk meningkatkan kebajikan rakyat dan prospek ekonomi," tambah Najib. -- Bernama

Fitch, Perdana Menteri, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain