suria

Najib Umum 15,000 Unit Rumah Untuk Warga PDRM

Datuk Seri Najib Tun Razak (dua,kiri) menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada anak-anak yatim pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian sebanyak 15,000 unit rumah tambahan kepada anggota polis bagi menghargai peranan mereka dalam menjaga keselamatan negara.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  bersempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Di Bulan Ramadan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, pada petang Selasa.

"Datuk Seri Zahid beritahu saya tadi, dia mengambil inisiatif melalui pertukaran tanah (land swap), maknanya kita tukar tanah dapat tunai dalam bentuk rumah.

"Sebanyak 15,000 unit rumah untuk anggota polis akan kita berikan. Saya akan bagi sokongan sampai ke Kabinet nanti, sebab anda layak," katanya sambil disambut tepukan gemuruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim di kalangan anggota PDRM.

Mengulas lanjut mengenai peranan PDRM, Najib berkata Malaysia masih aman walaupun beberapa negara di dunia ketika ini dilanda serangan keganasan Kumpulan Militan Negara Islam (IS).

Merujuk kepada insiden keganasan IS di Kuwait, Tunsia dan Perancis baru-baru ini, Najib berkata beliau yakin PDRM akan terus komited dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara.

"Tidak ada keganasan IS yang berlaku di Malaysia kerana peranan PDRM. Sejak dasar transformasi negara kita lakukan dalam mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu keutamaan," katanya.

Jelas beliau, kadar jenayah berjaya dikurangkan sebanyak 40 peratus dalam tempoh lima tahun, manakala kadar kecurian kereta turut menurun sebanyak 20 peratus.

PDRM, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain