suria

Palanivel Pengerusikan Mesyuarat CWC Interim MIC 2009

KUALA LUMPUR: Krisis MIC kian meruncing apabila Datuk Seri G. Palanivel hari ini mengumumkan pemilihan presiden parti akan diadakan pada September.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim 2009 di sini hari ini, Palanivel berkata pemilihan cawangan akan diadakan dari 24 hingga 26 Julai dengan pencalonan ditetapkan pada 15 dan 16 Julai.

Mengadakan pemilihan merupakan satu daripada enam resolusi diluluskan oleh CWC pada mesyuaratnya.

Palanivel, yang membacakan kenyataan kepada pemberita, berkata CWC "membuat teguran keras dan mengingatkan timbalan presiden yang digantung Datuk Seri Dr S. Subramaniam daripada berperanan sebagai pemangku presiden MIC".

Beliau juga berkata tiada mana-mana anggota MIC boleh mendakwa atau memperakui Dr Subramaniam sebagai pemangku presiden.

Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata CWC akan menulis surat kepada semua pengerusi cawangan dengan kadar segera, mengarahkan mereka untuk tidak melayani apa-apa perkara, termasuk permintaan bagi pencalonan berkaitan dengan pemilihan, daripada Dr Subramaniam.

Mesyuarat CWC juga membuat resolusi bahawa Datuk S. Sothinathan, yang didakwa oleh Palanivel ialah setiusaha agung, akan mengambil semua langkah perlu untuk mendapatkan semula pemilikan ibu pejabat MIC daripada "penghuni tidak sah".

Palanivel berkata jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memperoleh semula pemilikan semua aset parti, termasuk Universiti AIMST, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Kolej TAFE, Koop Didik dan Yayasan Pemulihan Sosial.

Ketika diminta mengulas tentang jawatan beliau sebagai presiden MIC, Palanivel berkata beliau masih presiden parti yang sebenar dan surat daripada Pendaftar Pertubuhan yang memperakukan beliau bukan lagi anggota MIC telah disalah tafsir.

Dr Subramaniam mendakwa beliau kini pemangku presiden MIC kerana  Palanivel telah hilang keanggotaan selepas beliau dan empat yang lain membawa perkara berkaitan parti ke mahkamah.

Dr Subramaniam telah mengumumkan pencalonan bagi pemilihan cawangan akan diadakan pada 10, 11 dan 12 Julai dan pemilihan seminggu selepas itu pada 18 Julai.

Katanya beliau berharap proses pemilihan semula bagi semua jawatan akan selesai menjelang akhir Oktober.

Krisis MIC timbul susulan wujud perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.

RoS membatalkan pemilihan diadakan pada November 2013 selepas menerima aduan berlaku penyelewengan.

G. Palanivel, S. Subramaniam, MIC

Artikel Lain