suria

Pemuda PAS Tanding DUN Sarawak, Mahasiswa Calon PRU-14

SHAH ALAM: Pemuda PAS komited untuk merampas sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) itu yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, persiapan untuk mencapai matlamat itu telah dilaksanakan, termasuk daripada segi pemilihan calon.

"Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS banyak menumpukan aktiviti persiapan pilihan raya di Sarawak dan Pemuda PAS komited untuk melahirkan anak sulung PAS Sarawak pada pilihan raya akan datang. Calonnya pun dah ada," katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian Muktamar Pemuda PAS ke-56 di sini, Selasa.

Terdahulu, Setiausaha Dewan berkenaan, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus ketika menyampaikan ucapan aluannya memaklumkan PRN Sarawak menjadi tumpuan utama Pemuda Pas selepas muktamar parti itu melabuhkan tirai.

"‎PRN Sarawak dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja. Boleh jadi ketika musim raya, selepas raya atau musim cuti sekolah tahun ini.

"Tumpuan Pemuda (PAS) adalah untuk menggempur DUN di mana Pas akan ditanding di Bumi Kenyalang," katanya.

PAS pernah terlibat dalam PRN Sarawak pada 2001, namun gagal meraih sebarang kerusi hingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Suhaizan turut mengumumkan cadangan untuk mengangkat mahasiswa ke kedudukan tinggi dan strategik dalam politik dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami mencadangkan kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk meletakkan seorang calon mahasiswa di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang," tegasnya.

Katanya, mahasiswa perlu dilantik agar setiap isu melibatkan kumpulan ini dapat dibahaskan di peringkat Dewan Rakyat.

"Selepas lebih lima dekad mahasiswa diperbudakkan melalui akta Auku, Pemuda mahu membebaskan mahasiswa dengan satu langkah berani agar mereka tidak terus rasa kerdil dan mudah dipergunakan,"'katanya.


Suhaizan Kaiat, DUN Sarawak, PRN

Artikel Lain