suria

Kerajaan Perpaduan: Rafizi Nafi PKR Bersetuju

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan pernah bersetuju dengan idea penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang didedahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Selasa.

Sehubungan itu Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berharap PAS tidak mengheret rakan sekutunya terjerumus ke kancah masalah dalaman yang dihadapi parti itu ketika ini.

"Saya diberi mandat oleh Biro Politik PKR untuk menafikan sekeras-kerasnya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pimpinan parti telah atau pernah bersetuju dengan idea bergabung dengan Umno di dalam sebuah kerajaan perpaduan seperti yang dirujuk oleh Presiden PAS semalam (Selasa).

"PKR berharap kami tidak diheret di dalam persoalan dalaman PAS," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Hadi buat pertama kali mendedahkan bahawa semua komponen pembangkang termasuk PKR dan DAP pernah bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan PAS ketika krisis politik di Perak pada 2008.

Menurut Hadi, idea itu juga dipersetujui Anwar dan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun kata Hadi, idea berkenaan hanya 'tinggal sejarah' kerana ia tidak dapat diteruskan berikutan bantahan daripada Barisan Nasional (BN).

PKR, PAS, DAP

Artikel Lain