suria

Dua Rakan Didenda Kerana Merusuh Guna Senjata

KUALA LUMPUR: Akibat merusuh menggunakan pisau, kayu dan kerusi, seorang peniaga barangan runcit dan pemasang lantai jubin, masing-masing didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Tan Kim Huat, 40, dan Ng Soon Sam, 52, selepas kedua-dua tertuduh, yang merupakan rakan, mengaku bersalah merusuh menggunakan alatan tersebut terhadap Tan Keat Wun, 42, seorang pembaiki peti sejuk.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Haru-Haru, Jalan 1/32, Taman Jinjang Baru, Sentul, di sini pada 5.30 petang, 15 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam K. Jaikumaran memberitahu mahkamah bahawa kejadian itu berpunca kerana mangsa telah meminjam wang berjumlah RM1 juta daripada tertuduh pertama namun membayar semula menggunakan cek tendang.

"Saya memohon hukuman denda untuk kedua-dua tertuduh kerana mereka perlu menanggung tiga orang anak dengan isteri kedua-duanya tidak bekerja," katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi.



Tan Kim Huat, Taman Jinjang Baru

Artikel Lain