suria

Dipenjara 15 Tahun Sebarkan Kematian Rakan Kerana Telefon Bimbit RM20

SHAH ALAM: Hanya kerana telefon bimbit yang mahu dijual RM20, seorang lelaki tergamak memukul rakannya sehingga mati dan hari ini dia menerima hukuman atas perbuatannya apabila Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atasnya.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memerintahkan M. Silvam, 44, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 13 Jun 2012.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian T. Saikeran, 50, di kaki lima, Jalan Langat 3, Taman Sri Langat, Kajang, kira-kira pukul 3.40 petang.

Dia dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Silvam sebelum ini menghadapi pertuduhan asal iaitu membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menyerahkan telefon bimbitnya kepada mangsa dan meminta bayaran RM20 tetapi mangsa hanya ingin membayar RM15 menyebabkan tercetus perkelahian antara mereka yang ketika itu dalam keadaan mabuk.

Tertuduh yang berang kemudian bertindak mengambil sebatang paip lalu memukul kepala mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah.

Keterangan pakar bedah forensik membuktikan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk kerana hentakan dengan objek di kepala yang menyebabkan tengkorak mangsa pecah serta mengalami pendarahan serius, dan keterangan itu mengesahkan bahawa kecederaan dialami mangsa konsisten dengan pukulan objek tumpul seperti batang besi, bukannya akibat terjatuh.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam K. Viknesvaran memohon mahkamah memperuntukkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menyara dua anak masih bersekolah berikutan isterinya tidak boleh bekerja kerana sakit jantung.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

Beliau mencadangkan supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 15 tahun sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada orang lain.-- Bernama


Artikel Lain