suria

PRK Rompin: Undi BN Tanda Sokong Najib - Hasan

ROMPIN: Anak watan di negeri ini diingatkan supaya menterjemahkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) menerusi undi, sekaligus menunjukkan solidariti terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Calon BN, Datuk Hasan Arifin berkata kemenangan di Rompin amat penting untuk menyatakan kepada dunia dan pakatan pembangkang bahawa semua penduduk di daerah ini berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib.

"Kemenangan saya penting tapi paling bermakna kepada BN. Itu penting sebagai tanda sokongan yang tak berbelah bahagi kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, anak watan negeri Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Usahawan dan Pelancaran Kelab Usahawan AIM di Dewan Zamrud Kolej Vokesional Rompin, Jumaat.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hasan yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin berkata, sokongan pengundi di Rompin amat bermakna di saat kepimpinan Najib dikritik pelbagai pihak.

"Saya yakin semuanya penyokong BN tapi mohon berharap semua, bukan sahaja diri kita tapi yakinkan keluarga kita bahawa tiada punyai pilihan melainkan BN," katanya.

Sejak akhir-akhir ini, kepimpinan Najib dikritik hebat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kemelut 1MDB.

Namun, hampir semua pimpinan Umno peringkat cawangan dan akar umbi menyatakan solidariti terhadap Najib serta mempertikaikan motif serangan Mahathir terhadap beliau.

Rompin, BN

Artikel Lain