suria

Khutbah Jumaat Seru Jemaah 'Pangkah' PKR

Khatib, Subri Arshad menyeru semua umat Islam dan pengundi kawasan Parlimen Permatang Pauh termasuk ahli PAS supaya menyokong PKR ketika berkhutbah.

BUKIT MERTAJAM: Mimbar masjid di Permatang Pauh di sini dijadikan pentas politik apabila khatib secara terang menyeru jemaah supaya mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 7 Mei ini.

Dalam khutbah di Masjid Batu Kampung Pertama di sini, khatib, Subri Arshad menyeru semua umat Islam dan pengundi kawasan Parlimen Permatang Pauh termasuk ahli PAS supaya menyokong PKR.

Tidak hanya berkempen, Subri juga dalam khutbahnya turut mengkritik kerajaan termasuk berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Kerajaan kita kerajaan yang zalim dan boros, membeli cincin yang nilainya berjuta ringgit.

"Kita juga dibeban dengan GST yang membebankan rakyat," kata Subri.

Subri merupakan bekas calon PAS di Parlimen Kepala Batas yang pernah menentang bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Selain itu Subri turut mengulas mengenai pertikaian masyarakat sama ada khutbah boleh dijadikan alat untuk menyampaikan agenda politik.

Jelas beliau, sebagai pendakwah beliau bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang dirasakannya benar kepada masyarakat walaupun di dalam khutbah sebelum solat Jumaat.

"Itulah tanggungjawab saya sebagai daei.

"Kalau ada orang pertikaikan boleh atau tidak berkhutbah begini, saya katakan bahawa Islam tidak pernah mengasingkan politik dengan agama," katanya di dalam khutbah pertama dalam solat Jumaat hari ini.


Permatang Pauh, Jumaat

Artikel Lain