suria

Urusan Mudah, Cuaca Indah Sepanjang Umrah Bersama Insan Istimewa

Sebahagian jemaah bergambar kenangan di depan hotel penginapan di Makkah.

ASSALAMUALAIKUM. Hasrat menunaikan umrah bersama-sama insan istimewa mula tersemat dalam fikiran saya apabila kali pertama melihat sekumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) dari negara Asia Barat mengerjakan tawaf di Kaabah menerusi Facebook kira-kira dua tahun lalu.

Justeru, apabila dilantik sebagai Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa, saya berazam untuk merealisasikan cita-cita itu, apatah lagi memikirkan anak sulung saya yang juga istimewa pernah menunaikan umrah dan tidak menimbulkan masalah.

Justeru, saya bertanya kepada penyelia PDK Titiwangsa, Suhana Alam, sejauh mana anak-anak di pusat pemulihan itu dibawa berjalan. Spontan beliau menjawab paling jauh ialah Gunung Kinabalu. Saya zahirkan hasrat saya untuk membawa mereka mengerjakan umrah.

Pelantikan saya sebagai pengerusi di PDK terbabit pada Ramadan tahun lalu (Julai 2014) dan ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri, saya mula bertanya-tanya kepada kenalan yang serba berkemampuan untuk menaja OKU menunaikan umrah.

Tidak jemu bertanya, berjumpa dan menghantar kertas cadangan kepada mereka. Namun, ia tidak semudah disangka kerana ada yang menganggap tidak perlu OKU mengerjakan umrah dan tidak kurang juga mengatakan, sukar membawa golongan itu kerana bimbang dengan pelbagai kesulitan yang mungkin timbul.

Dari Ogos hingga November saya tidak jemu-jemu mencari dan mencari sehinggalah saya bertemu dengan Ustaz Ismail Hamdun, anak muda yang mempunyai ramai kenalan di kalangan pemilik agensi pelancongan pada hujung November 2014.

“Hajah buat apa sekarang?” tanya Ustaz Ismail ketika bertemu saya di Tesco Ampang setelah saya menghantar anak bujang saya bekerja di sebuah restoran makanan segera.

“Masih menulis secara freelance dan sekarang ni tengah cari penaja untuk bawa OKU menunaikan umrah. Saya cadang nak bawa mereka Februari tahun depan (2015),” jawab saya.

“Masya Allah. Bagus tu. Dah ada orang yang taja ke?” tanya beliau penuh minat.

“Belum lagi. Saya dah beri kertas cadangan kepada beberapa agensi pelancongan tetapi senyap saja sehingga sekarang. Mungkin mereka masih berfikir lagi,” balas saya lagi.

“Kalau hajah nak saya bantu, saya boleh hantarkan kertas cadangan hajah kepada kenalan saya.

"Memang setiap tahun dia akan bawa orang susah ke Tanah Suci,” ujar beliau.

“Oh bolehlah juga. Nanti saya emel kertas cadangan tu,” jawab saya ceria.

Selang dua minggu, beliau menghantar pesanan menerusi Whatsapp kepada saya dan mengatakan ada berita gembira yang hendak disampaikan mengenai penajaan OKU. Alhamdulillah.

Hati gembira  penuh kesyukuran kerana cita-cita mula menampakkan kejayaan.

Ustaz Ismail mengatur pertemuan saya dengan penaja, iaitu Ramlah Ismail, pemilik Nat Tour Sdn Bhd yang beroperasi di Taman Prima Saujana, Kajang pada jam 10.30 pagi di sebuah restoran di Ampang pada 5 Disember 2014.

Ramlah (kiri) bersama penulis dan Fikri, insan istimewa.

Mereka tiba awal sedikit daripada saya. Sejurus tiba, tanpa berlengah, saya memperkenalkan diri dan memaklumkan serba sedikit mengenai PDK, pusat pemulihan yang menempatkan insan istimewa.

“Puan hajah, saya nak bawa OKU dari PDK Titiwangsa menunaikan umrah. Saya dah tanya beberapa pemilik agensi pelancongan beberapa bulan lalu tetapi belum ada seorang pun yang beri jawapan untuk menaja mereka setakat ini,” ujar saya.

“Berapa orang semua yang hajah fikir nak dipilih untuk pergi umrah?” tanya Ramlah pula.

“Jika boleh, enam orang. Tiga OKU dan tiga lagi pengiring,”jawab saya ringkas.

“Insha Allah,” jawab beliau pula. Jawapannya benar-benar umpama bulan jatuh ke riba. Kali pertama bertemunya dan beliau sangat positif terhadap permohonan tajaan itu.

Beliau yang sudah dimaklumkan terdahulu mengenai hasrat saya oleh Ustaz Ismail tidak keberatan untuk menaja, malah berbesar hati apabila saya mencadangkan agar membawa krew media membuat liputan di Tanah Suci.

Beliau tidak teragak-agak untuk turut menaja dua krew media membuat liputan kerana menganggap sebaagi satu daripada usaha memasarkan pakej umrah khususnya dan agensi pelancongan beliau amnya.

Di dalam hati saya hanya Allah sahaja yang tahu. Penuh kesyukuran. Tidak sangka pertemuan singkat dan kali pertama membuahkan hasil.

Beliau kemudiannya menetapkan April untuk berangkat ke Tanah Suci membawa insan istimewa. Sebelum itu, Ustaz Ismail juga pernah menyebut April tetapi saya mengharapkan bukan April kerana cuaca agak panas ketika itu.

Ramlah (kiri) dan jemaah di dalam Masjid Nabawi.

“Insha Allah, kita berangkat 5 April. Saya pun ada jemaah yang nak pergi umrah pada masa itu,” ujar Ramlah.

“Baiklah Puan hajah, Insha Allah. Saya akan maklumkan pada penyelia dan mereka yang berminat untuk pergi pada tarikh itu nanti,” balas saya pula.

Saya banyak berfikir selepas itu kerana apabila disebut April, saya kurang selesa kerana memikirkan cuaca panas terik dan mungkin menimbulkan kesulitan kepada OKU dari segi kesihatan.

Namun, saya akur dengan tarikh ditetapkan itu dan berdoa akan segala urusan berjalan lancar. Pada masa yang sama, penaja menunjukkan komitmen yang begitu tinggi kepada PDK Titiwangsa kerana turut memperuntukkan masa menghadiri aktiviti anjuran PDK setiap kali diundang. Malah, ketika kursus teori dan amali beliau tidak ketinggalan bersama-sama jemaah dan OKU.

Pada 5 April 2015, berangkatlah kami ke kota suci. Ramlah turut menyertai kami malah dia bersama-sama kami di dalam bas A yang menempatkan lima OKU bersama waris masing-masing. Di dalam bas B pula ada seorang OKU lagi.

Segala urusan berjalan lancar di KLIA. Tiba di terminal haji di Jeddah, urusan juga tidak sukar. Tiba di Madinah, kami menginap di Hotel Mubarak Madinah dan selesai sarapan, semua berkumpul untuk ziarah dalam, iaitu di perkarangan Masjid Nabawi, perkuburan Baqi’ dan bagi golongan lelaki, mereka berpeluang menziarahi makam Rasulullah S.A.W serta Raudah.

Ketika menyusuri pekarangan Masjid Nabawi, cuaca dingin mula terasa. Madinah mendung dan agak kelam. Ketika Ustaz Johan memberi penerangan mengenai Baqi’, tiba-tiba hujan membasahi bumi Madinah.

Tidak lebat. Hanya seketika namun kedinginan jelas terasa.

“Sejuknya air hujan ni,” ujar saya kepada anak gadis, Humaira.

“Ye. Sejuk air hujan di sini,” balasnya.

“Ini kali pertama Umi terasa hujan di Madinah. Alhamdulillah.

Rahmat daripada Allah SWT,” ujar saya lagi.

“Sebelum ini, kita pernah terasa hujan di Makkah. Masa tengah tawaf tapi kali ini di Madinah pula,” cerita Humaira ceria.

Cuaca nyaman di Madinah tidak menimbulkan masalah kepada semua jemaah. Tidak sangka cuaca begitu enak kerana lazimnya April sudah mula panas, hatta, pada jam 10 pagi lagi hingga hampir waktu Asar.  Alhamdulillah, kedatangan kami bersama-sama anak OKU menjanjikan keselesaan untuk beribadat dan berziarah.

Tiba hari ke Makkah, semua lengkap berihram, termasuk insan istimewa. Gembira melihat mereka berpakaian serba putih. Mereka patuh dengan setiap yang ditetapkan dan dipinta oleh waris keluarga masing-masing. Tidak terlalu sukar mengendalikan mereka, namun ibu bapa atau waris paling dekat perlu sabar dengan karenah insan istimewa yang kadangkala sukar diduga.

Insan istimewa bersama keluarga masing-masing menikmati cuaca nyaman di Madinah.

Di Makkah, saya sangka cuaca pasti panas tetapi jangkaan meleset kerana kedinginan begitu terasa ketika Subuh sehingga jam 10 pagi. Suhu ketika itu hanya 23 darjah Celcius, manakala tengah hari pula 35 darjah Celcius.

Angin agak kuat dan dingin beberapa kali dirasakan. Malah menyebabkan anak bujang saya kegembiraan ketika kami keluar berjalan sesudah menikmati sarapan.

“Sejuknya Umi. Seronoknya…. Tak panas pun,” luah Aliff sambil berjalan beriringan dengan neneknya dari Hotel Rayyana Ajyad ke Hotel Safwa Royale Orchid pada suatu pagi.

Ketika berangkat pulang, sekali lagi segala urusan dipermudahkan. Di dalam bas menuju ke lapangan terbang, Ustaz Johan yang bertindak sebagai pembimbing kami di dalam bas A memanggil beberapa jemaah untuk melontarkan pandangan.

“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Malah, segala urusan umrah yang dikendalikan begitu mudah dengan izin Allah.

Tidak pernah saya lalui pengalaman semudah ini. Mungkin ini, berkat membawa insan istimewa,” kata Ramlah.

Saya benar-benar tersentuh dengan kata-kata diucapkan itu.

Hakikatnya, memang benar. Bukan sahaja segala urusan dipermudahkan tetapi cuaca nyaman menyambut kedatangan kami di kedua-dua Tanah Suci.

OKU, PDK Titiwangsa, Ramlah Ismail

Artikel Berikut

Artikel Lain